3 Perbezaan Pepijat Dan Kutu
Adakah anda tahu, selain daripada pepijat yang menyebabkan kegatalan pada badan ketika anda tidur, terdapat juga kalangan kita yang berhadapan dengan masalah dengan kutu (Flea). Terdapat beberapa kes yang disebabkan oleh kutu, namun ada antara pelanggan yang tersilap mengatakan menghadapi masalah pepijat (Bedbug).
Serangan pepijat lazimnya adalah disebabkan oleh manusia. Seperti contoh jika anda pulang dari bercuti dan terdapat pepijat di bagasi atau barang peribadi anda maka pepijat tersebut akan mula bersarang di kediaman anda. Kutu pula menyerang apabila anda memelihara haiwan berbulu seperti kucing dan kucing tersebut terdedah kepada jangkitan kutu.
Oleh itu, pentingnya bagi anda untuk membezakan kutu dan pepijat. Hal ini kerana kaedah rawatan bagi kutu dan pepijat adalah berbeza.
Berikut merupakan perbezaan yang dapat dilihat dalam membezakan pepijat dan kutu.
1) Bentuk fizikal
Pepijat adalah serangga bewarna coklat kemerahan dan berbentuk bujur manakala kutu juga serangga bewarna coklat kemerahan namun berbentuk kurus. Pepijat lazimnya berukuran 4-6 mm panjang dan 1.5-3 mm lebar manakala kutu adalah sedikit kecil daripada pepijat dengan 1.5-4 mm panjang. Jika dilihat dari atas, bentuk badan pepijat adalah rata dan kelihatan seperti biji epal manakala kutu kelihatan panjang dan kurus. Oleh itu, dengan mengenali bentuk fizikal sahaja anda sudah dapat membezakan pepijat dan kutu.
2) Sumber makanan
Untuk pengetahuan anda, darah merupakan sumber makanan utama pepijat dan kutu. Pepijat hanya menjadikan darah manusia sebagai sumber makanan. Berlainan pula dengan kutu kerana ia menjadikan manusia serta haiwan seperti kucing untuk mendapatkan darah sebagai sumber makanan. Jika anda ada memelihara kucing, anda perlu memastikan kucing anda bebas dari serangga parasit seperti kutu kerana ia bukan sahaja menjadikan kucing anda sebagai sumber makanan tetapi akan menjadikan anda sebagai target sumber makanan.
3) Habitat
Seperti yang anda sedia maklum, kawasan habitat pepijat adalah di celahan katil dan tilam. Hal ini kerana pepijat akan menggigit manusia apabila tidur di atas tilam. Oleh sebab itu, kaedah rawatan haba memfokuskan di sekitar kawasan tilam untuk mematikan pepijat. Manakala habitat kutu adalah di celahan bulu-bulu haiwan peliharaan anda. Jika anda mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing, anda harus memastikan kebersihan bulu-bulu kucing untuk menghindarkan kutu menjadikan kucing anda sebagai tempat tinggal mereka.